KESEDERHANAAN HIDUP ATAU KESEMPITAN HIDUP
Sekiranya kita pergi ke kampung-kampung di pinggir bandar, kita akan lihat suasananya telah banyak berubah jika dibandingkan dengan apa yang ada 50 tahun yang lalu. Memang perubahan patut berlaku dalam sebuah negara demokrasi yang membenarkan suara rakyat sebagai penentu hala tuju negara. Dulu hanya ada jalan tanah merah dan pelita minyak tanah. Kini jalan-jalan itu sudah bersinar dengan tar dan lampu-lampu kalimantang di setiap rumah. Tidak perlu lagi dinihari meredah belukar kecil untuk ke telaga kerana air sudah ada di dalam rumah. Pusing sahaja kepala paip air sudah keluar. Tekan sahaja suis, lampu akan menyala terang benderang.
Begitulah nikmat dan hikmah sebuah kemerdekaan. Kedai dan warung kopi tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Paling banyak kelihatan di pekan-pekan kecil. Bagi peminat 'kopi kedai' saban hari pasti akan melepak dengan rakan-rakan sambil membaca surat khabar dan kadang-kadang nampak ada yang bertegang urat membahaskan isu-isu yang dibaca.
Begitulah hebatnya sejarah perjuangan orang-orang kita. Mampu menghalau penjajah dan juga mampu berdebat dan berbahas tentang isu-isu tempatan dan antarabangsa. Jika kita hampiri mereka ini, pemikiran mereka cukup tinggi. Kadang-kadang kalah ahli-ahli parlimen yang berbahasa di parlimen. Ada juga di kalangan mereka yang pengetahuan politiknya tinggi mengalahkan ahli-ahli parlimen. Tidak hairanlah jika ada di kalangan 'kaki lepak' kedai kopi ini yang memperlekehkan hujah-hujah yang dikemukan oleh ahli-ahli parlimen semasa menyaksikan sidang langsung di TV1.
Sudah banyak kali pilihanraya diadakan. Banyak isu dibahaskan. Tapi sedarkah anda semua bahawa taraf hidup masyarakat kita di luar bandar tidak banyak berubah. Jadi kaya raya. Tapi tak ramai. Hanya dua tiga kerat sahaja. Kata mereka yang tertentu "Itupun kaya sebab 'mengenali' orang-orang tertentu yang ada pangkat, jawatan dan gelaran".Yang miskin, yang merana, yang merempat masih ramai. Saya pernah bertemu dengan seorang rakan di Baling. Katanya ada penduduk di sini yang dah makan 'beras kepoi', makan nasi sekali sehari pun ada. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pun ramai.
Dalam mengecapi nikmat merdeka, nikmat terangnya lampu, nikmat sedapnya minum air bersih dan nikmat cepatnya berjalan dan menunggang basikal di jalan bertar, jarang kita jumpa orang bertanya atau berkata "adakah semua yang disediakan kepada kita ini diberikan percuma?". Cukup bulan semua perlu dibayar. Kita perlu membayar bil elektrik, bil air, bil telefon, cukai jalan dan cukai tanah. Bagi yang tinggal di bandar kena bayar pula cukai pintu.
Bagi yang makan nasi 'beras kepoi' sekali sehari adakah mereka juga terlepas dari membayar semua ini? Adakah mereka mendapat nikmat semua ini secara percuma? Apakah yang akan berlaku kepada mereka? Bagaimana dengan persekolahan anak-anak mereka? Baju sekolah, wang saku, buku-buku dan macam-macam lagi yang ada. Fikir-fikirkanlah...........
(sekadar renungan buat mereka yang mungkin terlupa diri.....)
Tuesday, 22 July 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment