Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
.
MERINTIS KEMUNGKINAN

http://pjskpu.radix2u.com

Jangan Abaikan Pesanan Ini:
"Meninggalkan anak-anak dalam keadaan berharta adalah lebih baik
daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta."

Friday, 15 August 2008

KPU ANJUR KURSUS MEMBINA MOTIVATOR

Kelab Pemimpin Utara (KPU) akan menganjurkan Program Pembinaan Kepimpinan (PPK) yang akan diadakan pada 22 OGOS 2008 (Jumaat) di Hotel Swiss Inn, Sungai Petani. Program yang bermula mulai jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang adalah terhad kepada 300 orang peserta sahaja.

Pengarah Program, PJS Mohd Zahir Ghazali memberitahu, 300 peserta ini adalah di kalangan mereka yang dipilih daripada KPU Generasi–1 (Gen-1) hingga Generasi-4 (Gen-4) dan sebahagian Gen-5.

PJS Ustaz Zahir antara pemimpin KPU yang banyak idea

Program sehari ini akan mendedahkan peserta kepada beberapa slot. Antaranya slot bersama Pengarah Urusan HPA, Haji Ismail Ahmad. Pengarah Urusan akan membentangkan kertas kerja berkaitan dengan perjuangan HPA serta hala tuju ke arah mencapai sasaran jualan RM20 juta sebulan. Peserta-peserta juga akan didedahkan dengan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Pada sebelah petang, pembentangan kertas kerja bertajuk : Membina Motivator dan Penceramah HPA Yang Efektif akan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Yahya. Beliau merupakan salah seorang penceramah hebat dari utara yang tersenarai antara 10 yang terbaik.

Dalam kertas kerjanya beliau akan mendedahkan teknik-teknik dan cara-cara yang berkesan untuk menyampaikan ceramah. Peserta akan juga akan didedahkan dengan beberapa kaedah ‘public speaking’ sesuai dengan hasrat KPU untuk melahirkan 300 penceramah HPA menjelang 2010.

Menurut PJS Mohd Zahir, semua peserta yang layak dan terpilih sudah pun dihubungi dengan surat panggilan rasmi. Beliau berharap agar peserta yang telah menerima surat dapat mengesahkan kepadanya secepat mungkin akan status kehadiran mereka dengan menyatakan nombor siri yang tertera pada surat tersebut. Mana-mana peserta yang tidak mengesahkan kehadiran mereka terlebih awal tidak dibenarkan masuk ke program ini kerana tempat mereka akan diganti dengan peserta lain.

Semua peserta dimestikan memakai blazer. Kemeja-T sama sekali tidak dibenarkan. Peserta muslimat pula hendaklah memakai stokin. Mana-mana peserta yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, tidak dibenarkan untuk masuk ke dewan.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila hubungi PJS Mohd Zahir Ghazali (012-4269003) dan PJS Noor Hyzad (019-41017370.

Ends....

Thursday, 14 August 2008

HPA SEMAKIN CEMERLANG

Pengarah Urusan HPA sedang menerima anugerah daripada PM

Semua Pengarah Jati Setia (PJS) dan pengedar-pengedar HPA dari Kelab Pemimpin Utara (KPU) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada HPA kerana menerima Anugerah Piala Perdana Menteri dan Anugerah Pemasar Tani Jaya Kebangsaan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008.


Anugerah yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup tinggi kepada HPA yang memasarkan produk makanan kesihatan, kosmetik dan barangan keperluan harian telah beroperasi sejak 1997 secara MLM.


Dengan pengiktirafan ini, HPA pastinya akan lebih gah dan maju ke hadapan dan mampu menjadi peneraju utama produk-produk halal bukan sahaja di Malaysia malah mampu menguasai pasaran antarabangsa.



Sekalung tahniah juga kepada pejuang-pejuang HPA yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat. Antara pejuang awal yang masih setia dan telah melakukan pengorbanan besar berjuang mempertahankan HPA ialah Faisol Rahman (GM HPA), Fisal Tajudin (GM Pentadbiran), Rashid Hassan (GM HPA Farm), Abdul Ghani (GM R&D) dan Rashidah Abd Rahim (GM M.I.S)


Tanpa kesabaran, pengorbanan dan susah payah mereka, HPA mungkin tidak akan berdiri kukuh seperti mana yang ada pada hari ini. Sesungguhnya kejayaan ini adalah kejayaan kita semua. Marilah kita sama-sama teruskan perjuangan ini. Kalau bukan kita, siapa? Kalau tidak sekarang, bila?

Ends.....

Tuesday, 12 August 2008

KURSUS KEUSAHAWANAN DAN KEPIMPINAN GEN-5

Kelab Pemimpin Utara (KPU) akan menganjurkan Kursus Keusahawanan dan Kepimpinan Generasi 5 (Gen-5) pada 30 dan 31 Ogos 2008 bertempat Di Jawi Resort, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. Kursus ini terbuka kepada semua Gen-5 KPU yang berpangkat Pengurus Meranti (PRX) dan ke atas.

PJS Mohd Zahir Ghazali - Pengarah Kursus

Menurut Pengarah Kursus, PJS Mohd Zahir Ghazali, kursus ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada ahli-ahli HPA dari Gen-5 tentang perjalanan perniagaan HPA. Ia juga bertujuan melahirkan usahawan Muslim yang mampu membina pendapatan berganda di samping melahirkan barisan pelapis dalam memimpin KPU yang akan bertindak sebagai tenaga penggerak dalam aktiviti anjuran KPU.

Semua peserta akan didedahkan dengan teknik dan konsep perniagaan MLM HPA yang memberi penekanan kepada ADIL dan SUKSES. Beberapa modul yang telah dikenal pasti akan dibentangkan oleh Pengarah Jati Setia (PJS) yang berjaya. Antaranya Modul Mendasari Sejarah Silam Dan Perkembangan HPA Kini (PJS Mohd Nadzri Ahmad), Mendasari Pelan Pemasaran HPA - 11 Keistimewaan Apabila Bersama HPA (PJS Ismail Othman), dan Skill Penguasaan Set Lengkap & Perawatan (PJS Sharifah Sulaiman),

Kursus yang akan dirasmikan penutupannya oleh Pengarah Urusan HPA, Hj Ismail Ahmad ini juga akan diisi dengan program Qiyamullail, Kuliah Subuh dan Senaman Taqwa. Seramai 12 PJS dan 8 orang Pengarah Jati (PJ) terlibat sebagai Urusetia dan Fasilitator. Setiap peserta akan dikenakan yuran sebanyak RM150 seorang untuk penginapan, makan minum dan bahan-bahan kursus. Pemimpin-pemimpin HPA yang beminat untuk menghantar rangkaian mereka sebagai peserta ke kursus ini bolehlah menghubungi PJS Mohd Zahir Ghazali (012-4269003), PJS Sabri Jaafar (016-4135629) dan PJS Noor Hyzad (019-4101737).

Monday, 11 August 2008

PJS Sabri Ahmad

ILMU ASAS PERJUANGAN

“Sekiranya besar yang dituntut dan mulia yang dicari, nescaya banyaklah kepayahan dan kesusahan melaluinya, panjang jalannya dan banyak rintangannya”.

Kata-kata dari pemikir dan mujahid Islam Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah menjadi pendorong kepada Pengarah Jati Setia, PJS Sabri Ahmad untuk terus melangkah maju dalam medan perjuangan bersama HPA. Baginya hidup tanpa ilmu adalah tidak bermakna, umpama pokok yang tidak berbuah, kerana tanpanya manusia akan gagal dan kecundang dalam melayari bahtera kehidupan. “Tuntutlah ilmu hingga sampai ke negeri Cina”, dan “Adakah sama di antara orang-orang yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu?”

Atas dasar itulah PJS Sabri Ahmad terus meneroka perjuangan ini bersama HPA kerana di sana pelbagai ilmu boleh dipelajari dan diperolehi. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Berburu ke padang datar, dapat rusa patah kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”. Adab menuntut ilmu mestilah beretika sepertimana yang ditunjukkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW. Guru bukan dilihat pada usianya, tetapi kepada ilmu dan amalannya. Keberkatan dan redha Allah SWT hanya datang kepada mereka yang sentiasa ikhlas berjuang hanya kerana Allah SAW.

Bersama sahabat sempena Mini KONVEK 2004 di MS Garden, Sg.Petani

PJS Sabri Ahmad mula mengenali HPA sekitar 1998 dalam usia lingkungan awal 40-an. Ketika itu beliau tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang dan bekerja sebagai mekanik. Kepakarannya dalam bidang mekanikal dan permotoran menjadikan beliau antara mekanik Melayu Islam yang cukup dikenali di pekan Balik Pulau. Ketika HPA baru sahaja memulakan perniagaan secara MLM, produk-produknya belum lagi gah di kawasan itu. Tidak ramai yang mengenali HPA. Kalau ada pun mungkin dua atau tiga orang sahaja. Itu pun di kalangan mereka yang berhijrah dari tanah besar dan bekerja di sana. Lagi pun waktu itu terdapat banyak syarikat MLM yang besar-besar seperti Amway, CNI, Zhulian dan bemacam-macam lagi. Apalah sangat yang ada pada HPA jika hendak dibandingkan dengan syarikat-syarikat gergasi tersebut. HPA hanyalah sekelumit sahaja bagi mereka yang menyanjung tinggi syarikat-syarikat MLM lain yang dianggap berprestij itu.

PJS Sabri mengenali HPA buat pertama kalinya setelah diperkenalkan oleh PJS Aseri Hanapiah, seorang angota polis yang bertugas di balai polis Balik Pulau. Perkenalan mereka bermula dalam beberapa majlis ilmu dan pengajian agama yang diadakan di surau dan masjid sekitar Balik Pulau. Dari situ PJS Sabri Ahmad mula tertarik apabila PJS Aseri memberitahu bahawa HPA memperjuangkan produk dan perniagaan secara Islam. Perkataan ‘ISLAM’ itu memberi satu kekuatan kepada PJS Sabri untuk mengetahui dan mengenali HPA dengan lebih dekat. Ini kerana sebelum ini beliau belum lagi temui syarikat perniagaan jualan langsung MLM yang mengenengahkan slogan ‘HALAL’ dan ‘ISLAM’ seperti yang ada pada HPA.

Sering menyampaikan kuliah dan kursus perubatan
(An-Nahdhoh Inn, Kubang Semang ; Kursus Tobib Muslim)

PJS Sabri bersama isterinya mula bergerak aktif dengan mengadakan demo, home party, menyertai pameran dan eskspo barangan yang diadakan sekitar Pulau Pinang. Tugasnya sebagai mekanik diteruskan. Waktu lapang beliau gunakan sepenuhnya bersama isteri untuk berdagang dan membina jaringan dalam usaha memperkenalkan produk HPA. Sambutan yang diterimanya agak menggalakkan. HPA mula dikenali dan mendapat sambutan dari sehari ke sehari. Masyarakat Melayu mula mengenali dan menerimanya dengan baik. Jaringannya makin besar dan bertambah.

Namun kata orang tua-tua “Hidup tidak selalunya indah, langit pula tak selalunya cerah”. Malapetaka telah melanda Pulau Pinang. Dalam keghairahan memperjuangkan produk HPA yang halal lagi baik dengan penuh istiqamah, tiba-tiba ada di kalangan ahli dan pimpinan HPA di Pulau Pinang terpengaruh dengan pelbagai skim cepat kaya yang menular masuk yang bertopengkan Islam sebagai agenda utama. Ada di kalangan mereka yang dulu berjuang bersamanya secara konsisten sudah mula goyah dan bersubahat dengan skim cepat kaya tersebut. Bagi PJS Sabri, ini merupakan satu musibah. Ada di kalangan pemimpin dan ahli HPA yang dulunya berkobar-kobar dengan HPA, tiba-tiba menjadi tukang canang dan ‘leader’ kepada skim tersebut. Maka, bermulalah era kemalapan dan kegelapan HPA di Pulau Pinang. Masing-masing tidak sabar, tenggelam dan hanyut dalam impian mengejar kebendaan dan mengejar kekayaan.

PJS Sabri sedang menunjuk cara menggunakan tanduk kerbau (urutan limfatik)

Namun, bagi PJS Sabri Ahmad, itu bukan titik akhir perjuangan. Perjuangan kerana Allah dan Rasul mesti diteruskan. Umat Islam mesti diselamatkan dari terus terjerumus dan hilang pedoman dalam kancah penyelewengan dan kesesatan berniaga. Semangatnya semakin kuat. Beliau terus melebarkan jaringannya dengan lebih luas dan menjadikan HPA sebagai pekerjaan sepenuh masa. Kerjaya di alam permotorannya ditinggalkan. HPA menjadi sumber pendapatan utama untuknya menyara keluarga dalam meneruskan kehidupan.

Pendapatannya bersama HPA pada ketika itu tidaklah seberapa, sekitar antara RM500 hingga RM800 sahaja sebulan. Tetapi semangat dan jiwanya cukup kuat. Wang itu hanya cukup untuk minyak kereta, sewa rumah dan makan minum keluarga secara ala kadar sahaja. Pernah satu ketika tayar keretanya pecah dan tercabut ketika dalam perjalanan pulang dari mengadakan home party dan promosi HPA. Beliau bukan tidak sedar bahawa tayar keretanya sudah ‘botak’, tapi kekangan kewangan memaksanya meneruskan juga perjalanan demi perjuangan HPA. Kereta Nissan miliknya pun sudah uzur. Berlubang di sana sini. Tapi selagi enjin kereta itu berbunyi, perjalanan untuk memperkenalkan produk halal tetap diteruskan.

Suasana gawat dan kecelaruan minda akibat skim cepat kaya di Pulau Pinang memaksa PJS Sabri Ahmad pulang ke kampung halamannya di Sungai Petani. Anak kelahiran Kampung Pengkalan Lebai Man ini memaksa diri untuk berbakti di tanah kelahirannya. “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berada di negeri sendiri”. Pepatah itu terpaksa ditelannya juga.

Atas kesedaran bahawa berniaga tanpa ilmu tidak akan ke mana, PJS Sabri Ahmad mula mendekati Pengarah Urusan HPA untuk mendalami ilmu perawatan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sekitar tahun 2004, beliau mengambil langkah drastik mempelajari secara mendalam ilmu produk dan ilmu perawatan berbekam (al-hijamah) terus dari Pengarah Urusan. Beliau hadir dalam pelbagai kursus yang dianjurkan oleh HPA.

Ilmu terpaksa dicari dan didalami kerana baginya orang-orang yang berilmu mampu pergi lebih jauh selain dapat membantu orang lain, bahkan ia boleh diwarisi dari generasi ke generasi. Mereka yang berilmu, “Bagai pepohon di tengah padang, rimbun daunnya tempat berteduh, kuat dahannya tempat bergantung, besar akarnya tempat bersila”.

Tetap sabar, tenang dan ikhlas dalam perjuangan

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut, “Sebaik-baik pengubatan bagi kalian ialah hijamah (berbekam)". -Riwayat Ahmad dan Tabrani dari Samurah R.A.

“Ubat penyembuhan itu pada tiga perkara, madu, berbekam dan tuam dengan api”. -Riwayat Imam Bukhari dari Said Bin Jubair R.A.

“ Barangsiapa berbekam pada 17,19 dan 21 setiap bulan hijriyah, maka itu adalah hari-hari yang menyembuhkan segala penyakit”. -Riwayat Abu Hurairah R.A.

Ketiga-tiga hadis sahih ini memberi kekuatan kepada PJS Sabri Ahmad memulakan perjalanan barunya bersama HPA dengan menjadi perawat melalui kaedah berbekam. Di samping itu, beliau juga tidak lupa membina rangkaian dan jaringan di negeri-negeri seluruh utara. Rangkaiannya di Pulau Pinang masih aktif, begitu juga di Pendang, Alor Setar, Taiping, Selama, Parit Buntar, Bukit Mertajam dan lain-lain lagi. Beliau kerapkali hadir menyampaikan ceramah untuk menceritakan pengalaman dan kelebihan-kelebihan yang ada sekiranya ahli-ahli terus istiqamah bersama HPA di dalam kelas-kelas mingguan yang dianjurkan oleh Kelab Pemimpin Utara (KPU). Selain itu, beliau juga adalah penceramah tetap yang mengisi slot di dalam program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) anjuran KPU.

Bersama Nissan baru yang lebih dinamik dan prestij.

Alhamdulillah, berkat kesabaran PJS Sabri Ahmad menempuh onak dan duri dalam memperjuangkan HPA, beliau dianugerahkan Pengarah Jati Setia (PJS) oleh HPA pada 2006. Kehidupan beliau kini tidak lagi seperti dahulu.Tidak lagi memandu kereta Toyota yang kuat bunyi enjinnya dan ‘botak’ tayarnya. Beliau tidak lagi tinggal di rumah sewa yang bocor di sana sini. Keadaan hidupnya sekeluarga sudah berubah. Keberkatan dari perniagaan HPA membolehlah PJS Sabri Ahmad meraih pendapatan bulanan 5 angka. Sesuatu yang tidak pernah beliau duga dalam sejarah hidupnya. Semuanya adalah berkat kesabaran dan keikhlasan dalam perjuangan. Baginya, perjuangan bersama HPA adalah kerana Allah SWT dan RasulNya.

BILA DUDUK, DUDUK BERGURU;

BILA TEGAK, TEGAK BERTANYA;

BILA BERCAKAP, CAKAP BERADAT;

BILA DIAM, DIAM BERISI;

BILA BERJALAN, MENCARI KAWAN;

BILA BERMUSYAWARAH, MENCARI MUAFAKAT;

BILA MENGHUKUM, MENCARI ADIL .

Ends…..

Sunday, 10 August 2008

PJS Mohd Zahir Ghazali

LIKU-LIKU PERJUANGAN
PEMIMPIN HPA



Kemelesetan ekonomi bukan faktor utama yang dijadikan asalan untuk tidak bekerja. Ramai yang beranggapan bahawa jika tidak bekerja dengan kerajaan atau swasta sudah dianggap menganggur. Bekerja sendiri juga dianggap bukan bekerja, tetapi masih menganggur walaupun mempunyai pendapatan sendiri. Mempunyai segulung ijazah dianggap tidak bermakna jika tidak bekerja makan gaji. Inilah mentaliti yang ada kepada sesetengah masyarakat kita suatu ketika dulu, terutama di kawasan luar bandar.

Pengalaman inilah yang ingin dikongsi bersama kita oleh Pengarah Jati Setia (PJS) Mohd Zahir Ghazali, terkenal dengan panggilan Ustaz Zahir. Anak muda dari Bukit Selambau Kedah ini mula berjinak-jinak dengan HPA ketika masih menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir lagi. Pada tahun 1998, ketika pulang bercuti ke kampung, beliau diperkenalkan HPA oleh bapa saudaranya, Cikgu Ungku Aznan (Cikgu Nan). Pada mulanya Ustaz Zahir tidak mahu terlibat dengan HPA dengan alasan tak pandai bisnes. Lagi pun dia amat buta dengan perniagaan secara MLM. Sepanjang hidupnya, Ustaz Zahir hanya berniaga barang-barang perhiasan dan pakaian yang dibawanya pulang dari Mesir sebagai sumber pendapatan untuk belajar di sana. Itu pun bukannya selalu. Setahun sekali sahaja, itu pun jika pulang ke kampung.

Bersama sahabat seperjuangan di bumi Mesir

Cikgu Nan (sekarang Pengetua SMK Kulim Hi-Tech) melihat potensi Ustaz Zahir sebagai seorang anak muda yang bakal mencipta kejayaan besar dari cara dan gaya kepimpinannya dalam keluarga. Walau pun ketika itu Ustaz Zahir baru berusia sekitar 25 tahun, namun dia sentiasa mejadi rujukan dalam keluarga. Pandangan dan pendapatnya sangat dihormati dan diambilkira dalam membuat apa-apa keputusan. Lagi pun Ustaz Zahir adalah antara pemimpin pelajar yang bergerak aktif dalam Persatuan Pelajar Melayu di Bandar Damanhur, Mesir.

Kumpulan pemimpin HPA pertama di Mesir bersama Pengarah Urusan

Ustaz Zahir bersama HPA pun setelah benar-benar bosan dengan ajakan dan pelawaan Cikgu Nan yang datang ke rumahnya tanpa jemu-jemu. Dalam sehari entah berpuluh-puluh kali Cikgu Nan menelefon Ustaz Zahir dengan mengajaknya bersama berjuang dalam HPA. Akhirnya pujukan dan rayuan Cikgu Nan berjaya juga. Ustaz Zahir mengambil keputusan mendaftar sebagai ahli HPA pada bulan September 1998.

Setelah dibawa bertemu Pengarah Urusan, Haji Ismail Ahmad, semangat Ustaz Zahir makin berkobar-kobar. Semangatnya makin memuncak setelah melihat watak dan peribadi sebenar Pengarah Urusan. Bisikan bahawa HPA adalah suatu perjuangan ummah sentiasa meniti di bibirnya. Beliau brtekad untuk menjadikan HPA pekerjaan sepenuh masa apabila tamat pengajiannya nanti. Atas dasar itulah Ustaz Zahir bertindak menghimpunkan hampir 400 pelajar Malaysia di Mesir sekitar tahun 1999. Pengarah Urusan dan beberapa pemimpin HPA hadir memberi penerangan serta taklimat HPA kepada penuntut-penuntut Malaysia di sana. Kebetulan waktu itu, ramai pemimpin HPA dalam rangka lawatan ke bumi anbiya dan mengerjakan umrah. Antara pemimpin-pemimpin HPA yang lahir hasil dari program yang dianjurkan di Universiti Al-Azhar itu ialah Ustaz Ramizu (Kelantan), Ustaz Jamaluddin Jusoh (Terengganu), Ustazah Siham dan Ustaz Zambri (Kulim), Ustaz Zaidi (Pendang), Ustaz Syamizam (Kulim) dan beberapa nama lagi yang sedang meningkat naik di seluruh negara.

Kehebatan PJS Mohd Zahir Ghazali terserlah setelah tamat pengajian dan pulang ke tanah air. Beliau bertekad untuk bekerja sendiri. Tidak mahu kerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Hati dan jiwanya adalah untuk perjuangan Islam. HPA menjadi medan perjuangan untuk menegakkan ekonomi ummah. Ustaz Zahir mula bergerak dengan menghimpunkan semula sahabat-sahabatnya yang pulang ke tanah air. Beliau membina semula rangkaiannya yang berselerak di seluruh negara. Kegigihan yang ditunjukkannya menyebabkan Ustaz Zahir jarang berada di rumah. Dia merantau ke seluruh negara bertemu sahabat-sahabatnya. Dia juga mengatur rombongan dari jaringannya melawat kompleks HPA dan kilang-kilang HPA di Perlis. Banyak masa dan wang ringgit dikorbankan dan dilaburkan dalam membina jaringan tersebut.

Keadaan ini berlarutan hampir 5 tahun. Ustaz Zahir tetap cekal dan tabah dalam menghadapi dan mengaharungi perjuangan ini. Dia sendiri yang mengatur program untuk rangkaiannya. Waktu itu kelas-kelas mingguan tidak banyak. Kalau ada pun sebulan sekali sahaja, tapi tidak di semua tempat. Cawangan HPA pun tak banyak. Di utara cuma ada 3 sahaja (Alor Setar, Sungai Petani dan Pulau Pinang). Roh jihad dan semangat Islam yang tinggi ditanam kepada rangkaiannya. Akhirnya dalam tempoh tersebut ada rangkaian Ustaz Zahir yang sudah mampu bergerak dan berjuang dalam rangkaian masing-masing.

PJS Mohd Zahir tidak pernah duduk diam. Boleh dikatakan setiap hari beliau akan keluar bertemu masyarakat setempat sama ada jauh dan dekat. Hampir semua ahli keluarganya menjadi ahli HPA dan bergerak aktif bersama-samanya. Beliau akan memperkatakan tentang HPA dan produk halal lagi baik di mana sahaja, sama ada dalam kuliah-kuliah ilmu dan juga program-program masyarakat. Kehebatannya menyampaikan kuliah dan ceramah-ceramah agama di masjid dan surau dijadikannya peluang untuk mengajak masyarakat menggunakan produk halal HPA.

Apabila Program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) dilancarkan pada Disember 2005, Ustaz Zahir mengambil kesempatan ini untuk memantapkan jaringan di bawahnya. Beliau mengemudi Kelab Pemimpin Utara (KPU) dengan jayanya. KPU bergerak aktif dan pelbagai program dirancang. PJS Mohd Zahir Ghazali adalah orang yang bertanggungjawab menyusun dan mengatur aktiviti-aktiviti KPU. Program Generasi 1 (Gen-1) adalah cetusan dari buah fikirannya. Dari Gen-1, sekarang sudah lahir Gen-5 . Dalam catatan dan data yang ada, seramai 8000 pengedar telah berjaya dibina dan dibimbing melalui Kursus Kepimpinan KPU.

PJS Mohd Zahir juga diamanahkan sebagai Pengarah PBC bagi KPU. Keupayaannya menyusun dan mengatur program serta aktiviti menyebabkan di utara sahaja terdapat 12 PBC setiap bulan. Menjelang 2010, KPU mensasarkan PBC diadakan sebanyak 30 kali dalam sebulan dengan 300 orang fasilitator dan 100 PJS. Kelas-kelas mingguan berjalan seperti biasa setiap minggu di semua cawangan HPA di utara. Semua PJS KPU terlibat mengisi kelas-kelas mingguan. Kursus-kursus Kepimpinan tetap diteruskan. Sehingga kini KPU berjaya melahirkan hampir 200 fasilitator yang ditugaskan di setiap PBC sekitar utara.

PJS Mohd Zahir adalah tokoh pemimpin HPA yang amat disegani di utara. Beliau banyak menerima anugerah daripada HPA. Pada tahun 2007 beliau telah disytiharkan sebagai “Distributor of The Year – (DOTY)”. Juga menjadi Top 10 HPA sejak 2004,2005,2006 dan 2007. Selain itu beliau juga menerima anugerah mengerjakan umrah dan pelancongan ke Mesir, Korea, Iran dan juga Asia Oceania. Dengan pendapatannya 5 angka sebulan menjadikan beliau antara yang menerima bonus tertinggi HPA. Kini, PJS Mohd Zahir Ghazali sudah mampu mempunyai rumah sendiri dan stokis daerah yang tersergam indah di Bandar Legenda Heights.

Seperti PJS lain, Ustaz Zahir juga tidak dapat melupakan peristiwa bagaimana HPA menerima tamparan hebat sekitar 2002. Penghijrahan keluar beramai-ramai pemimpin HPA kepada syarikat lain dan meninggalkan perjuangan HPA. Ustaz Zahir begitu hiba kerana sebelum ini pemimpin itu telah berikrar akan berjuang dan istiqamah dengan HPA. Tetapi merekalah orang yang telah mengkhianati dan meninggalkan perjuangan ini kerana matlamat mereka sebenarnya tidak sama dengan perjuangan HPA walau pun mereka mengaku memahami perjuangan HPA.

Pelbagai fitnah, maki hamun, cacian dilemparkan kepada HPA dan pemimpin-pemimpin yang ada dengan tujuan untuk memusnahkan HPA. Ahli-ahli HPA dihasut dengan pelbagai cara. Ustaz Zahir sendiri menjadi sasaran dan bahan cacian di kalangan segelintir mereka. Namun beliau tetap sabar dan sama sekali tidak meninggalkan HPA. Sekarang terbukti bahawa HPA berada di landasannya yang betul. Mereka yang menghina, mencaci dan memfitnah HPA tidak juga ke mana. Walau bagaimana pun Ustaz Zahir melahirkan rasa syukur kerana ada segelintir daripada pemimpin itu telah kembali semula kepada HPA setelah gagal dan kecewa dengan syarikat yang mereka ceburi.

Apa pun yang berlaku, PJS Mohd Zahir tetap yakin bahawa rezeki di tangan Allah. Barangsiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya. Tiada jalan lain ke syurga melainkan berjuang menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Maruah umat Islam perlu dikembalikan dengan sama-sama berjuang memartabatkan ekonomi ummah.

Ends…………….

Stokis Daerah Lagenda Heights

STOKIS DAERAH
BER
TARAF 5 BINTANG

Melayari bahtera perniagaan MLM (S) bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak cabaran dan rintangannya. Namun jika perjuangan ini disertakan dengan ilmu, semangat dan kesungguhan yang berterusan, tidak musatahil kejayaan akan menjadi milik kita bersama. Pepatah Melayu ada mengatakan “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, “ Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”.

Berbekalkan semangat perjuangan yang gigih itulah menyebabkan PJS Mohd Zahir Ghazali melebarkan perniagaannya dengan membuka Stokis Daerah Sungai Petani bertaraf 5 bintang di No 66, Jalan Legenda 2, Bandar Legenda Heights, Sungai Petani (bertentangan dengan Bank Islam). Stokis yang dilengkapi dengan produk-produk HPA ini juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti tempat untuk perbincangan dan mesyuarat mingguan. Reka bentuk hiasan dalaman cukup menarik. Mempunyai sudut info semasa HPA dan juga perkembangan syarikat. Selain itu terdapat juga galeri sejarah HPA yang bermula sejak tahun 1986 hingga kini. Juga dipaparkan wajah-wajah pemimpin utara yang berwawasan dan berwibawa.


Anak muda kelahiran Kampung Perak, Bukit Selambau, Kedah ini mempuyai cita-cita yang tinggi dalam memperjuang HPA. Melibatkan diri dalam perniagaan ini semenjak beliau menjadi penuntut di Universiti Al-Azhar Mesir lagi sekitar tahun 1998. Beliau adalah orang pertama yang membawa Pengarah Urusan HPA, Haji Ismail Ahmad ke Mesir dalam satu lawatan ke bumi anbiya dan singgah di Universiti Al-Azhar untuk mengadakan sesi penerangan HPA dengan penuntut-penuntut di sana. Sambutan amat menggalakkan. Hampir 90 peratus pelajar-pelajar Malaysia di sana menyertai HPA.
Setelah pulang ke tanah air, beliau meneruskan perjuangan ini tanpa mengenal erti penat dan jemu. Sebagai pendakwah bebas, beliau banyak mendedahkan kepada masyarakat akan pentingnya penggunaan produk-produk halal dalam kuliah-kuliahnya di masjid-masjid dan surau-surau. Sambutan di kalangan masyarakat setempat amat menggalakkan. Dari situ PJS Mohd Zahir mula mengorak langkah meneruskan perjuangannya dengan memantapkan jaringan yang terdiri dari kalangan sahabat-sahabatnya di seluruh negara yang sama-sama belajar di Mesir dulu.


Kehebatan, tribulasi dan mehnah yang beliau tempuhi dalam memartabatkan produk halal HPA akan dipaparkan dalam episod yang akan datang…. Ends….

Saturday, 9 August 2008

KENAPA PERLU HADIR P.B.C.?

Saya masih ingat sekitar 2002, jualan bulanan HPA hanya sekitar RM200 ribu sahaja sebulan. Tidak sepertimana yang berlaku pada hari ini, alhamdulillah jualan bulanan telah menjangkau berbelas-belas juta RM sebulan. Cawangan Sungai Petani sahaja mampu mencatat jualan melebihi setengah juta sebulan. Pejuang dan usahawan HPA yang lahir selepas 2005 mungkin tidak mengalami pahit maung yang telah dilalui oleh pemimpin-pemimpin awal yang bersama HPA dalam era 90-an.

Pernahkah kita bertanya apakah punca sebenar yang menyebabkan berlakunya lonjakan ini? Banyak faktor sebenarnya. Semua berperanan ke arah peningkatan jualan yang cukup membanggakan ini.

Salah satu faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan jualan ini ialah Program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC). PBC adalah medan baru bagi pemimpin-pemimpin HPA yang dimulakan sejak Disember 2005. Ia mampu menggerakkan pengedar untuk mengubah cara bekerja dan bertindak lalu lahir sebagai usahawan HPA. Dulu pun ramai juga usahawan yang lahir, tetapi tidak sehebat usahawan selepas adanya PBC. Ia adalah momentum baru yang menjulang kejayaan syarikat dan juga kecemerlangan pemimpin dan pengedar.

Menjadi ahli HPA dengan membayar yuran penyertaan RM30 seumur hidup belum tentu memberi jaminan untuk kita berjaya sebagai usahawan HPA. Ramai yang menjadi pengguna dan pengamal produk sahaja. Mereka mungkin terlupa bahawa Pelan Pemasaran yang dikemukakan oleh HPA mampu membina diri kita sebagai jutawan HPA jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Suasana dalam Program PBC

Menjadi usahawan memerlukan ilmu perniagaan. Setakat tahu sahaja belum cukup sekiranya tidak disertakan dengan skill untuk berdagang, terutama dalam syarikat yang berniaga secara Multi Level Marketing (MLM). Selama 2 hari satu malam dengan bayaran RM180 sahaja, pengedar akan didedahkan dengan ilmu dan skil perniagaan yang mampu menjadikannya usahawan yang cukup berjaya jika dipraktikkan dengan betul.

Dalam PBC, peserta akan didedahkan dengan modul-modul seperti Kenali Syarikat, Asas Pelan Pemasaran, Gerak Kerja 6M, Produk Halal-Haram, Diagnosis Penyakit, Perkongsian Pengalaman, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan juga Produk-produk Pilihan.

Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta dalam setiap PBC

Oleh yang demikian, pemimpin dan pengedar HPA yang bercita-cita mahu menjadi Usahawan MLM (S) HPA yang berjaya dengan pendapatan bulanan 5 angka, hendaklah menggerakkan jaringan mereka untuk hadir ke PBC. Setakat ini beberapa lokasi PBC yang dikendalikan oleh Kelab Pemimpin Utara (KPU) mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Di utara, PBC diadakan setiap bulan di Sungai Petani, Pendang, Kulim, Alor Setar, Pulau Langkawi, Baling, Taiping, Parit Buntar, Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Ends....

Friday, 8 August 2008

PJS Abdul Razak Hussain

USIA BUKAN PENGHALANG KEPADA PERJUANGAN

Berjuang memartabatkan produk halal lagi baik tidak memerlukan pengalaman yang banyak. Tidak juga memerlukan amalan yang bertahun-tahun. Yang diperlukan hanyalah ilmu, kesedaran dan azam untuk berjuang menyedarkan masyarakat akan betapa pentingnya kembali kepada mengamalkan produk halal. Usia juga bukan penghalang. Darjat, keturunan, jawatan dan kedudukan juga tidak bermakna jika kesedaran tiada. Yang penting kefahaman yang tinggi kenapa dan mengapa kita perlu sama-sama berjuang untuk memastikan produk halal ada di setiap rumah umat Islam di negara ini. Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab inilah, PJS Abdul Razak Hussain mengorak langkah untuk berjuang bersama-sama HPA.

Mula bergabung sebagai anggota berdaftar HPA pada tahun 1998. Ketika itu usianya sudah menjangkau 48 tahun dan ketika itu beliau bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di daerah Baling. Mesra dengan panggilan Cikgu Razak di kalangan teman-teman dan sahabat handai. Menceritakan saat bagaimana beliau mula mengenali HPA, Cikgu Razak terus mengukir senyuman. Memang itulah kelebihan yang ada padanya. Senyuman sentiasa berpanjangan walaupun topik perbincangan bukanlah sesuatu yang melucukan.

Adiknya, PJS Md Khatib adalah orang yang bertanggungjawab mengajak beliau bersama HPA ketika itu. Tanpa jemu-jemu adiknya menghubungi beliau agar turut bersama menggunakan barangan halal HPA. Produk ‘killer’ pada waktu itu hanyalah Minyak But-but dan Teh Herba sahaja di samping berbelas-belas produk lain. Hampir 5 tahun Cikgu Razak menjadi pengguna dan pengamal produk HPA. Tidak terfikir di hatinya untuk menjadi usahawan HPA yang mampu mengaut pendapatan bulanan puluhan ribu ringgit. Maklumlah pada ketika itu, beliau adalah guru Penolong Kanan dan seterusnya menjadi Guru Besar di SK Kuala Samak, Baling Kedah. Gajinya sebagai penjawat awam sudah cukup untuk menyara keluarga.

Namun sikapnya yang ramah, mudah mesra dan pendekatannya yang ‘klasik’ menyebabkan ramai guru dan sahabat handai serta penduduk sekitarnya mula mengenali HPA. Kebanyakan yang bersama HPA pada waktu itu sekadar pengguna barangan HPA sahaja. Tidak ramai yang mahu ke depan bertindak sebagai usahawan MLM.


Setelah ditukarkan sebagai Penyelia di Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, PJS Razak Hussain mula terfikir dan menghitung hari-hari terakhirnya untuk bersara wajib dari perkhidmatan awam dan apakah tindakan yang patut dilakukannya selepas bersara nanti. Sekitar 2004, Cikgu Razak mula bertindak sebagai usahawan HPA dengan membina jaringan dan rangkaiannya di merata tempat. Hujung minggu beliau kerap hadir memberi ceramah, taklimat dan mengadakan ‘home party’ sekitar daerah Baling dan Kroh di Perak.

Beliau banyak dibantu oleh isteri tercinta Kak Ummi dan anak-anak yang memahami hasrat dan perjuangannya. Semua anaknya menjadi ahli HPA dan bergerak cergas bersamanya memperjuangakan perniagaan ini. Kegigihan dan kesabaran yang ada pada Cikgu Razak menyebabkan beliau dianugerahkan pangkat Pengarah Jati Setia (PJS) oleh HPA pada tahun 2005. Anugerah PJS ini adalah untuk mereka yang setia dan bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan HPA tanpa mengenal erti penat dan jemu. Pengorbanan Cikgu Razak dalam mempertahankan dan memperjuangkan HPA cukup tinggi.

Menceritakan saat-saat paling getir dan pahit dalam perjuangan HPA ialah peristiwa yang berlaku sekitar tahun 2002, apabila bekas pemimpin HPA yang dulu pernah memberi motivasi dan membimbingnya untuk berjuang dalam HPA telah bertindak keluar HPA dan menghentam serta menghasutnya untuk meninggalkan HPA. Kononnya produk-produk HPA penuh dengan penipuan dan kilang- kilang HPA pun sudah ditutup. Bekas pemimpin HPA ini juga telah menghasut dan memaksa ahli-ahli HPA sekitar Baling untuk sama-sama menyertai syarikat barunya. Program-program yang mereka anjurkan digunakan untuk mencaci, mencela dan memfitnah HPA, bukannya mereka menceritakan perjuangan syarikat dan produk yang mereka niagakan. Cikgu Razak tidak pandai untuk berlawan hujah, beliau tidak suka bertengkar . Akhirnya ramai juga di kalangan sahabat-sahabatnya yang dulu menganggotai HPA telah lari ke syarikat baru kerana terpengaruh dengan hasutan itu.


Cikgu Razak tidak peduli semua itu. Baginya yang benar dan hak tetap akan menang. Yang dusta dan batil tetap akan hancur. Beliau tidak mahu melayan sangat kerenah bekas pemimpin HPA itu. Kerjanya adalah memperkenalkan HPA kepada masyarakat agar menggunakan barangan ‘halalal toyyiba’. Cikgu Razak tetap 'steady' walau pun ramai rangkaiannya yang ‘melarikan’ diri.

Setelah bersara wajib pada tahun 2007, PJS Cikgu Razak tidak seperti penjawat awam lain yang barangkali terpaksa memikirkan bagaimana mahu mencari pekerjaan sambilan bagi menampung kos hidup yang semakin meningkat selepasa bersara. Ada rakan-rakannya yang terpaksa membuka kedai kopi, menjual surat khabar, bekerja dengan syarikat-syarikat tertentu semata-mata untuk menampung keperluan keluarga. Maklumlan apabila bersara, pencen hanya tinggal separuh sahaja. Kalau semasa masih bekerja gaji bulanan RM4,000 sebulan. Selepas bersara pencen yang diterima hanya RM2,000 sahaja sebulan. Separuh gaji telah hilang sedangkan bayaran bulanan rumah dan kereta belum lagi habis.

Dengan pendapatan bulanan 5 angka bersama HPA, Cikgu Razak menarik nafas lega. Beliau tidak perlu bersusah payah memikirkan sumber-sumber lain untuk menampung perbelanjaan keluarga. Segala usaha dan penat jerih yang dilaburkan sejak 5 tahun sebagai usahawan HPA berbaloi. Beliau tidak pernah menjangkakan HPA mampu memberikan bonus sebanyak itu kepadanya. Cikgu Razak kesal dan kecewa dengan sikap rakan-rakannya dahulu yang lari meninggalkan perjuangan ini kerana percaya dengan hasutan dan fitnah membuta tuli. Ramai yang menyesal dan ada juga yang telah kembali ke pangkal jalan dalam keadaan penuh kekesalan.

Apa pun PJS Cikgu Razak tetap bersyukur dengan anugerah Ilahi dalam usianya kini menjangkau 58 tahun. Baginya rezeki dari sumber yang halal, barangan yang halal, sistem perniagaan yang halal, pastinya akan membawa keberkatan yang berpanjangan. Beliau terus tersenyum, tetapi senyuman penuh kebahagiaan dan kepuasaan tanpa perjuangan selama ini mendapat redha Ilahi.

Ends…..

Tuesday, 5 August 2008

PJS Sharifah Sulaiman


KAK PAH : SRIKANDI HPA
DI UTARA.

Sejarah tidak pernah padam. Setiap perkara dan peristiwa yang berlaku pasti akan terakam dan menjadi nostalgia yang sukar dilupakan dalam meniti kehidupan. Tidak ramai yang mahu mengingati sejarah lampau jika sejarah itu menjadi titik hitam dalam sesebuah kehidupan.

Namun ramai juga yang menjadikan sejarah lampau sebagai kekuatan untuk meneruskan perjuangan. Inilah yang berlaku kepada sebahagian Pengarah Jati Setia (PJS) HPA yang berjaya dalam perjuangan menegakkan ekonomi ummah dan memartabahkan produk makanan ‘halalan toyyiba’. Perjalanan yang jauh beribu batu pastinya bermula dengan langkah yang pertama. Itulah hakikat perjalanan yang dipegang oleh PJS Sharifah Sulaiman, terkenal dengan panggilan Kak Pah.

Kak Pah bersama Pengarah Urusan 2, Pn Hjh Norhayati
ketika di Mesir sekitar tahun 2000


Nama Kak Pah sudah tidak asing lagi kepada pengedar dan pemimpin-pemimpin HPA terutama di zon utara. Termasyhur kerana sifat keibuan dan kehebatan yang Allah SWT anugerahkan kepadanya dalam bidang perawatan. Pakar dalam mendiagnosis penyakit melalui rawatan tapak tangan ini menjadi tempat rujukan kepada hampir semua pengedar dan pemimpin di utara, khususnya dalam perawatan holistik. Juga menjadi tempat mengadu dalam semua hal berkaitan dengan perniagaan HPA.

Memulakan penglibatan sebagai ahli berdaftar HPA sekitar 1997. Ketika itu HPA baru sahaja melancarkan perniagaan secara MLM. Bagi suri rumah sepenuh masa, tidak ada apa yang hendak dibanggakan sangat. Isteri kepada suami yang bertugas sebagai guru ini pada peringkat awalnya bersama HPA hanyalah sekadar mencuba nasib untuk mengenali dan memahami perjuangan syarikat MLM milik bumiputera Islam. Mana tidaknya, pada zaman itu syarikat perniagaan MLM tumbuh bagaikan cendawan. Masih terbayang di kotak fikirannya akan kehebatan Smartlife, Zhulian, Nona Roguy, GanoExel, Luxor, DXN, Direct Circle, Revell, Romel, Shaklee, CNI dan macam-macam lagi. Persaingannya cukup hebat. Ramai pengedar dan anggota yang bersama dengan syarikat-syarikat tersebut adalah sahabat-sahabat sebangsa dan seagama dengan kita. Ramai yang berjaya dan menjadi kaya, tapi sayangnya kebanyakan mereka bukannya dari rakan yang sebangsa dan seagama dengan kita. Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari.

Bersama sahabat setia, PJS Norma Zainol

Inilah antara faktor awal yang mendorong Kak Pah bersama HPA. Satu-satunya syarikat bumiputera Islam, mengeluarkan produk halal dan mengenengahkan sistem perniagaan MLM secara Islamik. Biar pun ramai rakan dan sahabat pada ketika itu memandang rendah dan lekeh kepada HPA dan mengganggap HPA pastinya tidak akan bertahan lama kerana ia milik Melayu, namun di sudut hati kecil Kak Pah berbisik “Inilah syarikat dan bentuk perniagaan yang ku cari selama ini”. Wadah perjuangan ini sudah bermula kerana serasi dan terpaut pada jiwa. Cara tutur bicara dan hati mulia Pengarah Urusan dalam melagang dan mencanang perniagaan ini sedikit sebanyak menyentuh hati sanubari Kak Pah. Dalam kepayahan dan serba kekurangan inilah HPA bergerak. Biar pun ada yang memandangnya dengan sebelah mata, tetapi Kak Pah tetap melihat HPA mempunyai kekuatan tersendiri. Jika perniagaan ini atas dasar Allah dan Rasul, mengapa tidak kita jadikannya sebagai peluang untuk beribadat dengan berjuang bersamanya.

Menerima anugerah KONVEK 2006

Inilah hakikat sebenar di hati kecil PJS Sharifah Sulaiman setelah menerima suntikan luar biasa yang disampaikan oleh Pengarah Urusan dalam setiap ceramah dan kuliah-kuliah perawatan HPA yang diadakan pada waktu itu.


Hasilnya Kak Pah telah tanamkan azam yang kuat untuk cuba meletakkan HPA di persada paling tinggi dalam perniagaan MLM di negara kita. Bermula dari detik itulah Kak Pah memulakan langkah perjuangan ini bersama suami tercinta, PJS Suberi Murad. Mereka merantau ke seluruh pelusuk kampung, surau-surau, dewan-dewan masjid dan balai raya, dewan orang ramai, hotel-hotel, ruang-ruang ekspo, tapak-tapak pesta, kedai-kedai kopi dan berbagai-bagai lagi lokasi untuk mengadakan “home party”, demo dan ceramah-ceramah umum berkaitan HPA.

Pada masa itu saingan dengan MLM lain menjadikan persediaan dan persiapan rapi diperlukan kepada setiap pemimpin. Kak Pah pernah diuji dengan beberapa soalan oleh pemimpin-pemimpin daripada syarikat MLM lain yang menyusup masuk ke dalam majlis anjuran HPA. Tujuan soalan diajukan semata-mata untuk mengganggu majlis dengan niat untuk menguji akan sejauh manakah kehebatan pemimpin-pemimpin HPA. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT semua itu dapat diatasi dengan mudah dan keyakinan kepada HPA makin bertambah.


Berniaga tanpa ilmu barangkali akan mati tanpa pengakhiran. Dengan ilmu pastinya perniagaan ini akan hidup selama-selamanya walaupun kita telah tiada. Atas dasar iman dan taqwa kepada Allah SWT, Kak Pah mengorak langkah mendalami ilmu perawatan bersama Pengarah Urusan melalui kuliah-kuliah INTIBAH. Hasilnya setelah hampir 3 tahun belajar dan mendalami ilmu tersebut, Kak Pah berupaya mengaplikasikannya dengan menjadikan rumahnya di Taman Arked Sungai Petani sebagai Pusat Perawatan HPA. Dalam masa yang sama beliau memohon untuk menjadi Pengurus Stokis Daerah. Ramai pengedar baru dan lama serta pemimpin-pemimpin hadir ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan, paling ramai pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad).

Sejak dibuka dari jam 10.00 pagi, orang ramai datang berpusu-pusu hingga ke malam. Melalui perawatan sebegini, Kak Pah mendapati rupa-rupanya ramai insan yang sakit dan memerlukan bantuan. Kepada pesakit, Kak Pah selalu sebut, “Setiap penyakit ada penawarnya, kita berusaha dan Allah SWT yang akan menyembuhkannya”. Kata-kata itu sudah cukup ‘melegakan’ pesakit. Bisikan iman dan Islam ke dalam hati sanubari pesakit mampu menjadi suatu penawar yang luar biasa biasa. Inilah kehebatan perawatan (ilahiah dan alamiah) dalam HPA yang diamalkan dan dipraktikkan oleh PJS Sharifah Sulaiman.
Ditanya akan pengalaman manisnya, Kak Pah hampir menitiskan air mata apabila buat kali pertama dengan hasil titik peluh bersama HPA beliau dapat menjejakkan kaki ke Baitullah dan melihat sendiri Ka’bah. Boleh dikatakan setiap tahun Kak Pah sekeluarga akan berkunjung ke Makkah al-Mukarramah untuk mengunjungi Baitullah. Padanya tidak ada lagi tempat yang paling indah, menarik dan menyeronokkan melainkan di Tanah Suci Makkah.
Saat paling pahit bagi Kak Pah ialah sekitar tahun 2002, apabila sebahagian pemimpin HPA keluar meninggalkan perjuangan ini. Mereka tinggalkan HPA dengan kata nista dan sumpah seranah. Maki hamun dan menabur fitnah durjana di merata-rata empat kerana ia sudah menjadi perkara biasa bagi mereka. Sebelum itu, mereka adalah pemimpin yang menjadi idola kepada pengedar-pengedar di bawah dalam memperjuang HPA. Bonus mereka agak tinggi juga. Tapi jiwa dan hati mereka amat kerdil dan halus. Orang-orang yang rakus dan tamak ini keluar beramai-ramai meninggalkan HPA. Dari luar HPA, mereka melemparkan berbagai kata kesat dengan tujuan untuk memusnahkan HPA, Pengarah Urusan dan juga pemimpin-pemimpin yang tinggal pada waktu itu. Kak Pah tetap mempertahankan HPA bersama pemimpin-pemimpin yang masih bersama pada waktu itu.

Pemimpin-pemimpin ini adalah orang-orang yang setia dan kental dalam menghadapi serta melawan rangkaian fitnah dan sumpah seranah ini. Merekalah benteng pertahanan yang kuat di utara menangkis segala serangan yang datang bertubi-tubi. PJS Sharifah Sulaiman, PJS Azizan Ahmad, PJS Zaharah Md Zain, PJS Mohd Nadzri Ahmad, PJS Ismail Othman, PJS Mohd Zahir Ghazali, PJS Md Khatid Hussain dan PJS Razak Hussain antara nama-nama hebat di utara yang bertungkus lumus dalam perjuangan ini khususnya di utara bagi memastikan HPA kembali di tempatnya yang asal.


Kak Pah menghadapi semua ujian dan dugaan itu bersama teman-teman PJS ini dengan penuh kepayahan dan keperitan. Hanya kesetiaan dan istiqamah sahaja yang menjadi tunjang kepada kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. Pedih dan sakit umpama sembilu menikam hati apabila menerima fitnah dari segelintir insan yang hanya nampak pada habuan dunia semata-mata. Mereka tidak memahami erti perjuangan. Bagi mereka wang adalah segala-galanya.

Kini segala-galanya telah berlalu. PJS Sharifah Sulaiman tetap bersyukur kerana masih bersama teman-teman seperjuangan yang masih setia sejak dari dahulu. Kak Pah telah dapat menghidu dan menghirup keharumannya setelah hampir 11 tahun bersama HPA. Rezeki yang barokah melalui perniagaan ini telah dimanfaatkannya untuk memiliki kenderaan dan rumah yang selesa. Dengan pendapatan 5 angka seulan dan menduduki ranking ke-2 negara , terbukti baginya bahawa perniagaan HPA bukanlah gimik semata-mata, tetapi jelas untuk mereka yang cinta dan bercita-cita membangunkan sunnah Rasulullah SAW. Bidang perawatan menjadi satu laluan mudah untuk memasarkan produk halal ini, di samping membantu orang ramai daripada menggunakan produk syubahah.

Sebagai pemimpin hebat yang namanya menjadi idola kepada pengedar dan pemimpin, khususnya di utara, PJS Sharifah Sulaiman juga telah menerima banyak anugerah daripada HPA. Antaranya :
1. Awal 1998 beliau mendapat anugerah Tokoh Pemimpin Bulanan, Pengurus Stokis Daerah Terbaik dan pakej percutian ke Mesir secara percuma.
2. Pada tahun 2000, beliau mendapat anugerah Tokoh Pemimpin Terbaik.
3. 'Top 10' HPA untuk tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.
4. Anugerah Distributor of The Year (DOTY) 2004 dan 2005.
5. Mendapat hadiah 6 tiket penerbangan pelancongan ke Oceania, anugerah kereta Sayvy dan pakej Umrah pada tahun 2007.
Takdir Allah SWT sudah pastinya mengatasi tadbir manusia. Keredhaan Allah SWT hanya akan bersama dengan hamba-hamba yang sentiasa berjuang di jalanNya.

Ends…….

Sunday, 3 August 2008

PJS Mohd Nadzri Ahmad

KISAH PERJUANGAN
PJS MOHD NADZRI

Sekali pandang orangnya memang nampak mudah dan selalu ceria. Senang diajak berbicara. Mudah mesra. Kerapkali terdengar gelak ketawa gembira. Rakan-rakannya ada di mana sahaja. Wajah tampak muda walau pun telah dimamah usia. Itulah sahabat setia, PJS Mohd Nadzri Bin Ahmad. Mesra dengan panggilan Cikgu Nadzri.

Siapa sangka anak kelahiran Kupang, Baling Kedah ini boleh mencipta sejarah kejayaan yang gemilang bersama HPA. Ada yang berkata ia datang tanpa diduga. Ramai pula yang melopong terkejut tanpa disangka-sangka.


Pengarah Urusan HPA, Hj Ismail Ahmad dan sahabatnya, Yaacob
mengadakan 'home party' HPA di Taman Guar Perahu


Biar apapun yang diperkatakan, Cikgu Nadzri tetap tersenyum mesra. Jarang sekali melihat wajah marahnya. Kelebihan inilah yang membawa kejayaan cemerlang kepada bapa yang punyai 10 anak dari seorang isteri. Cikgu Nadzri, usahawan muslim yang berjaya mencipta nama dalam sejarah perniagaan MLM berlandaskan syariah membuktikan kepada dunia bahawa keyakinan yang tinggi kepada qadar dan iradah Ilahi mampu menempah kejayaan yang gilang gemilang. Sebagai pengamal Herba Penawar Al-Wahida (HPA), Cikgu Nadzri mula mengenali HPA sekitar awal tahun 1995 lagi. Minatnya terhadap bidang herba ini terbina apabila buat kali pertama bertemu dengan Pengarah Urusan HPA, Haji Ismail Ahmad. Kehadiran Haji Ismail Ahmad ke rumahnya di Tikam Batu adalah kerana memenuhi undangan abang kepada PJS Mohd Nadzri yang bernama Zamri yang mahukan beliau diperkenalkan kepada Pengarah Urusan.


PJS Mohd Nadzri (baju merah) menguruskan 'home party' yang disampaikan oleh Pengarah Urusan sekitar 1995

Dari raut wajah Pengarah Urusan yang menampakkan tulus dan ikhlas, telah menimbulkan semangat dan minat yang mendalam di hati Cikgu Nadzri untuk terus melayari bahtera memperjuangkan perniagaan ini. Berikutan dengan pertemuan pertama itu, akhirnya berlaku lagi beberapa pertemuan di antara PJS Mohd Nadzri dengan Pengarah Urusan. Kali ini berlaku di Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam. Pengarah Urusan membawa bersamanya seorang sahabat bernama Yaacob (sekarang Pengarah Urusan HALAGEL). Sesi penerangan produk HPA pada kali ini mendapat sambutan yang hebat dari penduduk tempatan.


Bangsal buruk inilah yang menjadi stokis HPA di awal perniagan PJS Mohd Nadzri

Bagi PJS Mohd Nadzri, antara kata-kata awal Pengarah Urusan kepadanya yang menjadi pendorong untuk beliau terus bergerak aktif ialah “Kalau tidak kita yang memulakan industri herba ini secara sungguh-sungguh, siapa lagi yang hendak diharapkan”. Kata-kata semangat yang diluahkan oleh Pengarah Urusan itu menyebabkan PJS Mohd Nadzri mengambil langkah untuk membuka stokis (Single Level Marketing) dengan modal awal RM1,000 sahaja. Pada waktu itu ‘killer produk’ HPA ialah Minyak But-but, Teh Herba, Resdung (sekarang Cosinium Plus) dan Menawan Kasih (sekarang Paramaria Plus).


Stokis Tikam Batu yang dikelolakan oleh PJS Norma, isteri Cikgu Nadzri

Pada mulanya PJS Mohd Nadzri hanya berniaga di rumahnya sahaja. Atas permintaan pengedar dan pengguna yang semakin ramai, akhirnya beliau menumpang untuk meletakkan produk-produk HPA di kedai sahabatnya di Pekan Tikam Batu. Masa itu, modal kecil dan wang yang ada pun cukup-cukup makan sahaja. Belum mampu untuk menyewa kedai walaupun sewanya tidaklah mahal sangat. Dugaan Allah SWT datang menimpa apabila kedai sahabatnya itu hangus terbakar dalam satu kebakaran. Turut musnah ialah semua produk-produk HPA yang ditumpang letak di kedai tersebut. Anggaran kerugian hampir RM300. Teramat sedih, pilu dan hibanya hati PJS Mohd Nadzri mengenangkan akan apa yang telah berlaku.

Bersama sahabat setia yang sentiasa bersama ke mana jua, di mana sahaja

Beliau tidak berputus asa, atas dasar perjuangan dan keyakinan yang tinggi, PJS Mohd Nadzri menyewa sendiri sebuah stor berhampiran Petronas Tikam Batu untuk dijadikan stokis HPA. Beliau tidak lagi berniaga di rumah. Jualan harian ketika itu hanya sekitar antara RM48 hingga RM 60 sahaja sehari. Kadang-kadang ada juga hari yang langsung tidak ada jualan. Kadang-kadang dalam sehari itu yang laku hanyalah sebotol Minyak But-but sahaja. Namun perjuangan tetap diteruskan. Akhirnya jualan semakin lama semakin meningkat bulan demi bulan sehinggalah pada tahun 2004 apabila Kopi Radix ’mai secawan’ dilancarkan di Hotel Park Avenue Sungai Petani. Selepas HPA memperkenalkan PBC pada Disember 2005, jualan stokis PJS Mohd Nadzri terus melonjak berlipat kali ganda. Kedaan ini berlarutan sehingga memaksa beliau memohon kepada HPA untuk membuka Pusat Jualan.

Pusat Jualan HPA milik PJS Mohd Nadzri di Padang Temusu, Sg Petani

Hampir 14 tahun bergelumang dengan perjuangan ini. Akhirnya Cikgu Nadzri berjaya berada di puncak kejayaan bersama HPA. Sifat sabar, tidak mudah kecewa, jujur, amanah, ikhlas dan berkeyakinan tinggi adalah antara resepi kejayaan beliau. Beliau menjadikan perniagaan bersama HPA ini sebagai bisnes keluarga yang dilakukan secara berjamaah. Kerapkali PJS Mohd Nadzri bergerak bersama isterinya PJS Normah Zainol. Mereka sering mengadakan promosi melalui home party, ekspo, majlis penerangan di pelbagai lokasi seperti dewan orang ramai, rumah, surau dan lain-lain. Ini dilakukan bertujuan untuk melebarkan jaringan dan membina rangkaian.
PJS Mohd Nadzri menjadikan isteri dan anak-anaknya sebagai sumber inspirasi dan pembina semangat dalam perjuangannya. Kerjasama dari semua 10 orang anaknya cukup mantap dan berkesan. Kegigihan dan komitmen yang tinggi dalam keluarga menjadikan PJS Mohd Nadzri antara pemimpin yang tersenarai dalam Top 10 HPA hingga kini.

PJS Mohd Nadzri meletakkan cita-cita yang mahu dicapai hendaklah disandarkan pada kemantapan strategi, istiqamah, berakhlak mulia, serta melangkah bersama dalam saff (ukhuwah). InsyaAllah impian pasti akan menggamit kejayaan dunia akhirat.

Menceritakan saat-saat manis yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika mendaki Jabbal Musa (Bukit Tursina) bersama Pengarah Urusan 1 dan 2 dalam rangka lawatan ke bumi Mesir. Beliau turut sama dalam rombongan mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar Mesir.

Suaranya juga pernah berkumandang ke udara menerusi radio Kedah FM sebagai jemputan bagi mengisi slot Produk Pilihan HPA (madu asli) bersama juruhebah Che Dah.

Salah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika merawat seorang gadis yang telah disahkan oleh Doktor Pakar menghidap masalah buah pinggang kronik (sebelah sudah 'out' dan sebelah lagi cuma berfungsi 30 peratus sahaja). Si gadis ini telah bertunang dan dinasihatkan oleh Doktor agar jangan berkahwin kerana risiko kematian akan berlaku sama ada kepada anak atau ibu. PJS Mohd Nadzri telah memberikan set rawatan HPA (Malac, rebusan Alax, Mega-3, Teh Herba, Spirulina dan Madu Asli). Dengan izin Allah SWT, dalam masa 2 bulan sahaja dengan amalan yang konsisten Doktor telah mengesahkan bahawa gadis tersebut telah pulih sepenuhya. Gadis tersebut berkahwin dan telah menimang cahaya mata serta sihat sehingga kini.



Hasil kegigihan dan komitmen yang tinggi bersama HPA, PJS Mohd Nadzri telah menerima beberapa anugerah tertinggi setiap kali KONVEK HPA (konvensyen Tahunan). Antaranya Stokis terbaik Lelaki Zon Utara (2000, 2002), Anugerah mengerjakan Umrah (2002), Stokis Terbaik Kebangsaan (2004, 2005,2006 dan 2007), Anugerah Top 10 HPA (2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007). Beliau juga diisytiharkan sebagai’ Distributor The Year (DOTY) 2006, Anugerah Top 20 dan mendapat hadiah pakej pelancongan ke Republik Islam Iran (2007), Anugerah Khas Top 10 dengan sebuah kereta Savvy (2007).


Begitulah secebis kisah akan kehebatan perjuangan PJS Cikgu Nadzri yang memulakan perniagaan ini dengan kepayahan dan kesulitan, dugaan demi dugaan sehinggalah berjaya menjadi usahawan Muslim cemerlang bersama HPA. Dengan pendapatan 5 angka sebulan, PJS Mohd Nadzri hanya tersenyum lebar mengenangkan segala kisah dan peristiwa suka duka yang telah berlaku dan jalan-jalan berliku yang ditempuhinya, malahan beliau terus menanti apakah pula kisah-kisah baru yang akan muncul bersama HPA….

Ends…….