Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
.
MERINTIS KEMUNGKINAN

http://pjskpu.radix2u.com

Jangan Abaikan Pesanan Ini:
"Meninggalkan anak-anak dalam keadaan berharta adalah lebih baik
daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta."

Monday, 11 August 2008

PJS Sabri Ahmad

ILMU ASAS PERJUANGAN

“Sekiranya besar yang dituntut dan mulia yang dicari, nescaya banyaklah kepayahan dan kesusahan melaluinya, panjang jalannya dan banyak rintangannya”.

Kata-kata dari pemikir dan mujahid Islam Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah menjadi pendorong kepada Pengarah Jati Setia, PJS Sabri Ahmad untuk terus melangkah maju dalam medan perjuangan bersama HPA. Baginya hidup tanpa ilmu adalah tidak bermakna, umpama pokok yang tidak berbuah, kerana tanpanya manusia akan gagal dan kecundang dalam melayari bahtera kehidupan. “Tuntutlah ilmu hingga sampai ke negeri Cina”, dan “Adakah sama di antara orang-orang yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu?”

Atas dasar itulah PJS Sabri Ahmad terus meneroka perjuangan ini bersama HPA kerana di sana pelbagai ilmu boleh dipelajari dan diperolehi. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Berburu ke padang datar, dapat rusa patah kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”. Adab menuntut ilmu mestilah beretika sepertimana yang ditunjukkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW. Guru bukan dilihat pada usianya, tetapi kepada ilmu dan amalannya. Keberkatan dan redha Allah SWT hanya datang kepada mereka yang sentiasa ikhlas berjuang hanya kerana Allah SAW.

Bersama sahabat sempena Mini KONVEK 2004 di MS Garden, Sg.Petani

PJS Sabri Ahmad mula mengenali HPA sekitar 1998 dalam usia lingkungan awal 40-an. Ketika itu beliau tinggal di Balik Pulau, Pulau Pinang dan bekerja sebagai mekanik. Kepakarannya dalam bidang mekanikal dan permotoran menjadikan beliau antara mekanik Melayu Islam yang cukup dikenali di pekan Balik Pulau. Ketika HPA baru sahaja memulakan perniagaan secara MLM, produk-produknya belum lagi gah di kawasan itu. Tidak ramai yang mengenali HPA. Kalau ada pun mungkin dua atau tiga orang sahaja. Itu pun di kalangan mereka yang berhijrah dari tanah besar dan bekerja di sana. Lagi pun waktu itu terdapat banyak syarikat MLM yang besar-besar seperti Amway, CNI, Zhulian dan bemacam-macam lagi. Apalah sangat yang ada pada HPA jika hendak dibandingkan dengan syarikat-syarikat gergasi tersebut. HPA hanyalah sekelumit sahaja bagi mereka yang menyanjung tinggi syarikat-syarikat MLM lain yang dianggap berprestij itu.

PJS Sabri mengenali HPA buat pertama kalinya setelah diperkenalkan oleh PJS Aseri Hanapiah, seorang angota polis yang bertugas di balai polis Balik Pulau. Perkenalan mereka bermula dalam beberapa majlis ilmu dan pengajian agama yang diadakan di surau dan masjid sekitar Balik Pulau. Dari situ PJS Sabri Ahmad mula tertarik apabila PJS Aseri memberitahu bahawa HPA memperjuangkan produk dan perniagaan secara Islam. Perkataan ‘ISLAM’ itu memberi satu kekuatan kepada PJS Sabri untuk mengetahui dan mengenali HPA dengan lebih dekat. Ini kerana sebelum ini beliau belum lagi temui syarikat perniagaan jualan langsung MLM yang mengenengahkan slogan ‘HALAL’ dan ‘ISLAM’ seperti yang ada pada HPA.

Sering menyampaikan kuliah dan kursus perubatan
(An-Nahdhoh Inn, Kubang Semang ; Kursus Tobib Muslim)

PJS Sabri bersama isterinya mula bergerak aktif dengan mengadakan demo, home party, menyertai pameran dan eskspo barangan yang diadakan sekitar Pulau Pinang. Tugasnya sebagai mekanik diteruskan. Waktu lapang beliau gunakan sepenuhnya bersama isteri untuk berdagang dan membina jaringan dalam usaha memperkenalkan produk HPA. Sambutan yang diterimanya agak menggalakkan. HPA mula dikenali dan mendapat sambutan dari sehari ke sehari. Masyarakat Melayu mula mengenali dan menerimanya dengan baik. Jaringannya makin besar dan bertambah.

Namun kata orang tua-tua “Hidup tidak selalunya indah, langit pula tak selalunya cerah”. Malapetaka telah melanda Pulau Pinang. Dalam keghairahan memperjuangkan produk HPA yang halal lagi baik dengan penuh istiqamah, tiba-tiba ada di kalangan ahli dan pimpinan HPA di Pulau Pinang terpengaruh dengan pelbagai skim cepat kaya yang menular masuk yang bertopengkan Islam sebagai agenda utama. Ada di kalangan mereka yang dulu berjuang bersamanya secara konsisten sudah mula goyah dan bersubahat dengan skim cepat kaya tersebut. Bagi PJS Sabri, ini merupakan satu musibah. Ada di kalangan pemimpin dan ahli HPA yang dulunya berkobar-kobar dengan HPA, tiba-tiba menjadi tukang canang dan ‘leader’ kepada skim tersebut. Maka, bermulalah era kemalapan dan kegelapan HPA di Pulau Pinang. Masing-masing tidak sabar, tenggelam dan hanyut dalam impian mengejar kebendaan dan mengejar kekayaan.

PJS Sabri sedang menunjuk cara menggunakan tanduk kerbau (urutan limfatik)

Namun, bagi PJS Sabri Ahmad, itu bukan titik akhir perjuangan. Perjuangan kerana Allah dan Rasul mesti diteruskan. Umat Islam mesti diselamatkan dari terus terjerumus dan hilang pedoman dalam kancah penyelewengan dan kesesatan berniaga. Semangatnya semakin kuat. Beliau terus melebarkan jaringannya dengan lebih luas dan menjadikan HPA sebagai pekerjaan sepenuh masa. Kerjaya di alam permotorannya ditinggalkan. HPA menjadi sumber pendapatan utama untuknya menyara keluarga dalam meneruskan kehidupan.

Pendapatannya bersama HPA pada ketika itu tidaklah seberapa, sekitar antara RM500 hingga RM800 sahaja sebulan. Tetapi semangat dan jiwanya cukup kuat. Wang itu hanya cukup untuk minyak kereta, sewa rumah dan makan minum keluarga secara ala kadar sahaja. Pernah satu ketika tayar keretanya pecah dan tercabut ketika dalam perjalanan pulang dari mengadakan home party dan promosi HPA. Beliau bukan tidak sedar bahawa tayar keretanya sudah ‘botak’, tapi kekangan kewangan memaksanya meneruskan juga perjalanan demi perjuangan HPA. Kereta Nissan miliknya pun sudah uzur. Berlubang di sana sini. Tapi selagi enjin kereta itu berbunyi, perjalanan untuk memperkenalkan produk halal tetap diteruskan.

Suasana gawat dan kecelaruan minda akibat skim cepat kaya di Pulau Pinang memaksa PJS Sabri Ahmad pulang ke kampung halamannya di Sungai Petani. Anak kelahiran Kampung Pengkalan Lebai Man ini memaksa diri untuk berbakti di tanah kelahirannya. “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berada di negeri sendiri”. Pepatah itu terpaksa ditelannya juga.

Atas kesedaran bahawa berniaga tanpa ilmu tidak akan ke mana, PJS Sabri Ahmad mula mendekati Pengarah Urusan HPA untuk mendalami ilmu perawatan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sekitar tahun 2004, beliau mengambil langkah drastik mempelajari secara mendalam ilmu produk dan ilmu perawatan berbekam (al-hijamah) terus dari Pengarah Urusan. Beliau hadir dalam pelbagai kursus yang dianjurkan oleh HPA.

Ilmu terpaksa dicari dan didalami kerana baginya orang-orang yang berilmu mampu pergi lebih jauh selain dapat membantu orang lain, bahkan ia boleh diwarisi dari generasi ke generasi. Mereka yang berilmu, “Bagai pepohon di tengah padang, rimbun daunnya tempat berteduh, kuat dahannya tempat bergantung, besar akarnya tempat bersila”.

Tetap sabar, tenang dan ikhlas dalam perjuangan

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut, “Sebaik-baik pengubatan bagi kalian ialah hijamah (berbekam)". -Riwayat Ahmad dan Tabrani dari Samurah R.A.

“Ubat penyembuhan itu pada tiga perkara, madu, berbekam dan tuam dengan api”. -Riwayat Imam Bukhari dari Said Bin Jubair R.A.

“ Barangsiapa berbekam pada 17,19 dan 21 setiap bulan hijriyah, maka itu adalah hari-hari yang menyembuhkan segala penyakit”. -Riwayat Abu Hurairah R.A.

Ketiga-tiga hadis sahih ini memberi kekuatan kepada PJS Sabri Ahmad memulakan perjalanan barunya bersama HPA dengan menjadi perawat melalui kaedah berbekam. Di samping itu, beliau juga tidak lupa membina rangkaian dan jaringan di negeri-negeri seluruh utara. Rangkaiannya di Pulau Pinang masih aktif, begitu juga di Pendang, Alor Setar, Taiping, Selama, Parit Buntar, Bukit Mertajam dan lain-lain lagi. Beliau kerapkali hadir menyampaikan ceramah untuk menceritakan pengalaman dan kelebihan-kelebihan yang ada sekiranya ahli-ahli terus istiqamah bersama HPA di dalam kelas-kelas mingguan yang dianjurkan oleh Kelab Pemimpin Utara (KPU). Selain itu, beliau juga adalah penceramah tetap yang mengisi slot di dalam program Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) anjuran KPU.

Bersama Nissan baru yang lebih dinamik dan prestij.

Alhamdulillah, berkat kesabaran PJS Sabri Ahmad menempuh onak dan duri dalam memperjuangkan HPA, beliau dianugerahkan Pengarah Jati Setia (PJS) oleh HPA pada 2006. Kehidupan beliau kini tidak lagi seperti dahulu.Tidak lagi memandu kereta Toyota yang kuat bunyi enjinnya dan ‘botak’ tayarnya. Beliau tidak lagi tinggal di rumah sewa yang bocor di sana sini. Keadaan hidupnya sekeluarga sudah berubah. Keberkatan dari perniagaan HPA membolehlah PJS Sabri Ahmad meraih pendapatan bulanan 5 angka. Sesuatu yang tidak pernah beliau duga dalam sejarah hidupnya. Semuanya adalah berkat kesabaran dan keikhlasan dalam perjuangan. Baginya, perjuangan bersama HPA adalah kerana Allah SWT dan RasulNya.

BILA DUDUK, DUDUK BERGURU;

BILA TEGAK, TEGAK BERTANYA;

BILA BERCAKAP, CAKAP BERADAT;

BILA DIAM, DIAM BERISI;

BILA BERJALAN, MENCARI KAWAN;

BILA BERMUSYAWARAH, MENCARI MUAFAKAT;

BILA MENGHUKUM, MENCARI ADIL .

Ends…..

No comments: